Monday 10 September 2012

Selamat Ber-UPSR Kakak

Bismillahirrahmanirrahim....

Esok, UPSR datang lagi demi menguji tahap pencapaian anak-anak di sekolah rendah. Antara mereka ialah anakku. Alhamdulillah, kakak telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam setiap ujian. Syukur kepada-Mu Ya Allah.

Telah sedaya upaya aku cuba membantu dia dalam pelajaran kecuali aku tidak menghantarnya ke kelas tuisyen. Ini kerana aku percaya pada prinsipku. Padaku, cukuplah jika fokus pada pengajaran guru semasa dalam kelas, mengulangkaji di rumah dan menyiapkan kerja sekolah. Bagiku, itu sudah memadai. Budak-budak juga perlukan masa untuk melakukan kesukaan masing-masing. Justeru, aku biarkan saja kakak menikmati alam kanak-kanak tanpa mengabaikan pelajaran. Apapun.... lain padang lain belalang kan?

Memang aku mengharapkan dia mendapat keputusan yang cemerlang dalam upsr. Aku mahu dia mencontohi Abang malah jika mampu lebih baik lagi. Aku harapkan anak-anakku berjaya dalam hidup di samping berakhlak baik


Aku juga izinkan kakak membawa pulang rakan-rakannya yang sudi belajar bersama-samanya. Bukan sahaja untuk mengulangkaji pelajaran, malah untuk berkongsi idea  serta meredakan tekanan sesama teman. Yalah, mungkin anak-anak segan untuk berkongsi perasaan dengan ibu bapa. 

Saat ini, mereka telah tidur. Aku harap mereka lena agar dapat merehatkan minda. Semoga esok, otaknya cerdas untuk memerah idea menjawab kertas ujian BM Pemahaman, Penulisan dan Matematik. 

Puisi Walau Tak Indah Buat Kakak...
Tidurlah anak...
moga esok tersingkap tabir
serlahlah nur

Wahai anak,
mulakan dengan nama Allah
demi Dia yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Sesungguhnya anakku sayang,
doa restu dan kemaafan kuhulurkan
demi janji yang kita patrikan....
demi bukan sekadar 5A, insya-Allah.

Ya Allah restuilah!



No comments: