Tuesday 7 January 2014

Nasib Orang, Nasib Kita?

Tiba-tiba aku terkenang pada seorang sahabat lama. Sebenarnya tak berapa berkawan pun dengannya. Almaklumlah dia tu cantik, bertudung labuh dan berjubah. Bersekolah jauh dari rumah berhantar berambil. Anak tauke restoran yang popular pulak tu. Berbanding dengan aku jauh nan amatlah. Aku hanya berjual kuih muih pada bulan Ramadan...ala kecil-kecilan tahap cucu bilis. Tudung tak labuh, kadang pakai kadang tidak serta bersekolah biasa tempat anak-anak marhain mencari ilmu. 

Sudah orang cantik dan berakhlak elok pulak tu, justeru menjadi buruan dan igauan teruna dan duda. Kerana terlampau popular tahap kampung, akhirnya dia tidak mahu menyambung sekolah lagi dan mahu berkahwin. Yalah, sudah ada jaminan, suami akan tanggung beres, apa pulak nak belajar2 lagi....

Awan berarak. Masa berlalu.

Hampir dua puluh tahun kemudian, aku disapa seseorang ketika di pasar. Ingat-ingat lupa, maka otakku bekerja keras untuk menterjemah apa yang kunampak. Oh...

Kami bersalam-salamn sambil bertanya khabar. Katanya dia dah bercerai dengan suaminya dulu. Dia mendakwa bekas suami gilakan perempuan lain, yang muda tentunya. Alahai kasihan... dia ditinggalkan dengan tujuh orang anak.

Tak lama dia meminta diri kerana perlu bergegas pulang untuk membuat kuih jualan. Dia berlalu dengan menunggang motosikal yang agak berusia.... nasib orang, nasib kita?? Allah jua yang tahu.


No comments: