Pada suatu hari ada seorang polan datang ke tempat kerjaku untuk menjemput ke majlis perkahwinan dua orang anaknya. Hmm sekali lempar batu kena dua burunglah nampaknya. Aku kenal lah agak mendalam juga tentang penjemput itu tapi aku tidaklah berhasrat untuk pergi kerana dia mengajak secara umum saja. Letak satu kad dan siapa yang kenal maka dia yang kena.
Aku tak berapa gemarlah akan kaedah moden itu kerana jiwa Melayu tradisi masih kental bergumpal dalam jiwa nuraniku. Nak menjemput tetamu padaku hendaklah bertemu muka selagi berupaya. Begitulah aku setiap kali nak jemput orang datang ke umah hatta untuk makan karipap aje, inikan pula nak kenduri kendara...beradap sompan sungguh...dan juga disebabkan terlalu beradat istiadatlah juga menyebabkan aku jarang mengundang orang datang ke rumah aku. Haaaa...ha. Cehh.
Alkisahnya pada hari kejadian, tiba-tiba telepon antik en.ahmad berdering garang. Makanya aku yang selama ini berat tangan dan kaki nak mengangkat tepon orang menjadi ringan pula. Aku dikejutkan dengan khabaran bahawa si polan itu telah meninggal dunia pada pagi hari kenduri anaknya. Innalillahi wainna ilaihira jiuun. Sedih dan sayu kerana sungguh besar dugaan ini kepada keluarganya. Maka, aku yang tidak berhasrat untuk pergi ini, menghadiri juga majlis itu. Walau bagaimanapon, majlis jamuan terpaksa jua diteruskan kerana semuanya telah tersedia, cuma tiadalah majlis sanding serta salam berkaut semua tu. Semuanya bertukar menjadi senyap, sayu dan redup.
Patutlah arwah tidak perlu menjemput semua kenalannya kerana beliau boleh rasa, mereka yang kenal akan datang jua ke rumahnya pada hari tersebut. Walau bagaimanapun, aku tidaklah makan dan minum walau disuruh atau didesak kerana aku menjadi berat hati, serba salah dan malu....
Takziah kepada keluarga allahyarham, semoga rohnya aman selalu dalam rahmat-Nya.
No comments:
Post a Comment